Please enable your JavaScript in order to browse the website.

Melawat Tempat Menarik di Kuala Kangsar

Galeri Sultan Azlan Shah
Galeri Sultan Azlan Shah merupakan sebuah muzium menarik yang harus dilawati di Kuala Kangsar. Galeri ini menyimpan pelbagai barangan yang pernah dimiliki oleh Sultan Azlan Muhibbudin Shah. Selain itu terdapat juga kisah-kisah dan perjalanan hidup baginda untuk dilihat dan diikuti sendiri oleh rakyat jelata. Bangunan cantik dan bersejarah yang menempatkan galeri ini berusia lebih 100 tahun dan dahulunya dikenali sebagai Istana Ulu. Sekiranya anda inginkan lawatan berpandu, sila maklumkan tarikh dan masa lawatan kepada pihak pengurusan galeri sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh lawatan.

Alamat: 33000 Kuala Kangsar, Perak, Malaysia,
Waktu Operasi: 10.00am – 5.00pm
Telefon: +605-777 5362

Muzium Diraja Perak
Muzium Diraja Perak dahulunya dikenali sebagai Istana Kenangan (Istana Lembah atau Istana Tepas) terletak di Bukit Chandan. Bagi peminat sejarah dan senibina melayu, muzium ini adalah tempat menarik di Kuala Kangsar yang mesti dilawati. Bangunan dengan rekabentuk tradisional melayu ini tersergam indah dan dibina tanpa menggunakan sebatang paku pun. Pengunjung dapat melihat bentuk asal bilik-bilik istana terdiri daripada bilik istirehat, bilik peraduan, balairong seri dan singgahsana. Selain itu, turut dipamerkan maklumat sejarah kerajaan Perak dari zaman silam.

Alamat: 33000 Kuala Kangsar, Perak, Malaysia.
Waktu Operasi: 9.30am – 5.00pm (Jumaat 9.30am – 12.15pm, 2.45pm – 5.00pm)

Masjid Ubudiah
Masjid ini merupakan Masjid Diraja Perak terletak di Bukit Chandan. Masjid ini menjadi tarikan kerana senibinanya yang unik dan merupakan salah sebuah masjid yang paling cantik di Malaysia. Masjid berbentuk segi lapan ini memiliki kubah induk besar ditengahnya yang berwarna emas dan dikelilingi dengan empat buah menara dengan kubah yang lebih kecil dan diantaranya pula terdapat menara-menara kecil yang berjumlah 16 menara kesemuanya.

Alamat: Jalan Istana, 33000 Kuala Kangsar, Perak, Malaysia.
Telefon: +6011-1769 6364

Menara Pavilion
Menara Pavillion ini terletak di Jalan Bendahara. Menara ini didirikan pada tahun 1920 semasa pemerintahan Sultan Iskandar Shah. Pada masa dahalu menara ini digunakan sebagai tempat istirehat oleh Sultan Iskandar selepas bermain polo. Sekarang ia merupakan salah satu tempat bersejarah yang menjadi tarikan pelancong di Kuala Kangsar.

Alamat: Menara Pavilion Segi Empat Jalan Bendahara, 33000 Kuala Kangsar, Perak, Malaysia.

Pusat Kraftangan Mariwasa
Pusat kraftangan yang diasakan pada tahun 1975 ini bukan semata-mata mengeluarkan dan mempamerkan produk kraftangan, tetapi pengunjung diberi peluang untuk melihat proses pembuatan produk-produk tersebut. Antara barangan yang terdapat disini ialah barangan hiasan rumah, barangan perak dan pingat yang berkualiti tinggi. Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pembuatan pingat secara terperinci. Selain itu, pengunjung boleh melihat mesin-mesin yang digunakan untuk menghasilkan medalion dan silver.

Alamat: Lot 522, Kawasan Perusahaan, 33000 Kuala Kangsar, Perak, Malaysia.
Waktu Operasi: 8.00am – 12.45pm, 2.00pm – 5.30pm
Telefon: +605-776 5888

Kolam Air Panas Ara Panjang
Kolam Air Panas Ara Panjang ini merupakan sebuah kawasan tasik air panas semulajadi yang indah. Tasik atau kolam ini kurang dikenali kerana tiada pembangunan besar-besaran dilakukan. Anda masih boleh menikmati suasana alam semulajadi dimana pokok-pokok besar tumbuh ditepi kolam meneduhkan kawasan ini. Kawasan sekeliling yang agak semak dan tidak terjaga di kolam ini mungkin tidak memenuhi kehendak sesetengah pengunjung. Namun jika anda pencinta alam semulajadi, merendam kaki sambil menikmati kehijauan pokok-pokok disini memberi kepuasan tersendiri.

Alamat: Kolam Air Panas Ara Panjang, Manong, 33000 Kuala Kangsar, Perak, Malaysia.

Galeri Arkeologi Lembah Lenggong
Selain daripada tempat bersejarah dan alam semulajadi, terdapat galeri arkeologi yang terletak di Lenggong. Galeri arkeologi ini ditubuhkan pada 1999 dan memaparkan pelbagai artifak-artifak yang dijumpai di sekitar Lembah Lenggong. Pembukaan galeri ini bertujuan menjadi medium yang informatif kepada orang awam tentang seni arkeologi dan penemuan yang didapati sebagai contohnya alat-alat batu, rangka ‘Perak Man’ dan lukisan yang dilihat di dalam gua. Anda boleh membawa anak-anak anda untuk mempelajari dan memahami dengan lebuuh mendalam tentang sejarah zaman Paleolitik dan lain-lain.

Alamat: Galeri Arkeologi Lenggong, Jabatan Warisan Negara, 33400 Lenggong, Perak, Malaysia.
Waktu Operasi: 9.00am – 5.00pm
Telefon: +605-767 9700

Pusat Pembangunan Kraftangan Perak
Peminat kraftangan tempatan yang bercuti di Kuala Kangsar jangan lupa untuk melawat Pusat Pembangunan Kraftangan Perak yang terletak di Enggor, kira-kira 8 KM dari Kuala Kangsar. Perjalanan hanya mengambil masa lebih-kurang 10 minit jika anda memandu kereta. Pusat kraftangan ini mengumpul pelbagai barangan termasuk produk paling terkenal di Kuala kangsar iaitu labu sayong.

Alamat: KM 40, Jalan Ipoh, Perak, 33600 Enggor, Malaysia.
Waktu Operasi: 9.00am – 1.00pm, 2.00pm – 5.30pm (Sabtu & Ahad tutup)
Telefon: +605-757 6200

Kilang Kicap Tamin
Kilang Kicap Tamin ini diasaskan oleh seorang penduduk yang bermodalkan RM10 sahaja, semangatnya untuk meneruskan perniagaannya sehingga berjaya amat menakjubkan. Kicap Tamin kini sangat terkenal terutamanya dalam kalangan surirumah. Lawatan ke kilang ini memberikan anda pengetahuan tentang proses penghasilan kicap, seperti pemerapan kacang soya yang merupakan cara yang paling tradisional sekali. Di situ juga terdapat bilik pameran yang mempamerkan produk-produk lain yang dihasilkan selain dari kicap iaitu sirap, sos dan lain-lain.

Alamat: No. 3955, Jalan Ipoh Batu 25, 33600, Enggor, Perak, 1, Kampung Setia, 31100 Enggor, Perak, Malaysia.
Telefon: +605-757 6577