Please enable your JavaScript in order to browse the website.

Bercuti di Alor Setar

Alor Setar merupakan bandaraya cantik yang menjadi ibu negeri Kedah Darul Aman. Terdapat pelbagai tarikan yang menjadikan ia sebagai tumpuan pelancong dari dalam mahupun luar negara.

TEMPAT MENARIK

1. Menara Alor Setar
Anda mungkin tertanya-tanya akan tempat menarik di Alor Setar untuk dilawati jika pertama kali berkunjung ke sini. Lokasi paling sesuai dan pilihan pertama ialah Menara Alor Setar. Menara kedua tertinggi di Malaysia ini merupakan mercu tanda bandaraya Alor Setar dan merupakan tarikan pelancongan utama di kawasan pusat bandar. Pelancong boleh melihat pemandangan seluruh bandaraya hingga ke kawasan sekitar yang dikelilingi sawah padi hingga sayup mata memandang. Dikawasan pemerhatian (Observation Area) setinggi 88 meter turut disediakan teropong automatik untuk pelancong melihat pemandangan lebih dekat dan jelas.

Alamat: Darul Aman Highway, Bandar Alor Setar, 05000 Alor Setar, Kedah, Malaysia
Waktu Operasi: 9.00am – 10.30pm
Telefon: +60 4-720 2234

2. Muzium Padi
Muzium Padi Alor Setar ialah lokasi yang mesti ada dalam senarai lawatan jika anda merancang untuk berkunjung ke bandaraya ini. Ia terletak di Gunung Keriang iaitu kira-kira 13 KM dari pusat bandar. Muzium ini terdiri dari tujuh buah bangunan termasuk sebuah bangunan induk berbentuk gemai padi yang terletak di atas tanah seluas 12,000 meter persegi. Pameran merangkumi berbagai peralatan, barangan, lukisan dan lain-lain berkaitan padi. Pengunjung boleh mendapat maklumat yang lengkap mengenai padi bermula dari proses penanaman, penuaian, pemprosesan sehingga ia menjadi beras.

Alamat: 06570 Alor Setar, Kedah, Malaysia
Waktu Operasi: 9.00am – 5.00pm
Telefon: +60 4-735 1315

3. Masjid Zahir
Masjid Zahir ialah Masjid Negeri yang terletak di Lebuh Raya Darul Aman, Alor Setar. Oleh kerana kedudukannya di pusat bandar, masjid yang cantik ini sering menjadi tarikan pelancong yang berkunjung ke bandaraya ini. Rekabentuk Masjid Zahir sungguh unik. Dari pandangan luar, ia berdiri megah dengan ciri-ciri binaan Islam yang mengagumkan. Lebih menarik perhatian ialah kubah besar berwarna hitam yang tersergam dibumbung masjid. Ia dikelilingi oleh empat kubah kecil dengan warna yang sama disetiap anjungnya menjadi lima buah kubah yang melambangkan rukun Islam.

Alamat: Jalan Kampung Perak, Bandar Alor Setar, 05150 Alor Setar, Kedah, Malaysia
Telefon: +60 4-731 9465

4. Taman Jubli Emas
Anda tidak tahu nak ke mana waktu petang di Alor Setar? Taman Jubli Emas Alor Setar adalah lokasi menarik yang boleh anda kunjungi. Ia merupakan tempat rekreasi penduduk sekitar bandaraya ini dan menjadi tumpuan ramai terutama dihujung minggu. Selain padang permainan, disini terdapat trek jogging, kawasan permainan skateboard, menunggang kuda dan taman permainan kanak-kanak. Sebuah kolam ikan yang luas juga terdapat di tengah Taman Jubli Emas ini. Suasana cukup meriah terutama sekali dimusim cuti sekolah dimana ramai pengunjung membawa keluarga bersantai. Ada yang beriadah, bermain layang-layang, skateboard dan memberi makan ikan-ikan di kolam.

Alamat: Kampung Suka Menanti, 05150 Alor Setar, Kedah, Malaysia

5. Gua Gunung Keriang
Antara tempat menarik di Alor Setar untuk dilawati ialah Gunung Keriang. Jika anda melawat muzium padi, jangan lupa singgah di kawasan rekreasi Gunung Keriang kerana ia terletak dikawasan berhampiran sahaja. Kawasan pelancongan alam semulajadi ini merupakan salah satu destinasi yang dipromosikan dalam kalendar Tahun Melawat Kedah 2016. Tarikan utama Gunung Keriang selain taman rekreasi ialah gua-gua yang terdapat disini.

Alamat: Kampung Gunung Hulu, Alor Setar, Kedah, Malaysia

6. Balai Seni
Balai Seni Negeri menghimpunkan koleksi-koleksi hasil seni khasnya anak tempatan Kedah iaitu golongan pelukis veteren dan pelukis muda yang diantaranya telah berjaya mencipta nama hingga ke peringkat antarabangsa. Selain Seni Lukis, Seni Ukiran Kayu dan Seni Khat juga turut dipamerkan.

Alamat: Bandar Alor Setar, 05000 Alor Setar, Kedah, Malaysia
Waktu Operasi: 9.00am – 5.00pm
Telefon: +60 4-732 5752

7. Muzium Diraja
Muzium Diraja adalah sebuah bangunan istana lama yang pernah didiami oleh beberapa orang Sultan Kedah. Ketika Perang Dunia Kedua, tentera Jepun pernah menduduki istana dan kemudiannya turut dijadikan ibu pejabat beberapa pertubuhan sebelum dibiar tanpa pemerhatian. Kandungan pameran di sini antara lain mengetengahkkan koleksi KDYMM Tunku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah serta koleksi yang diperoleh daripada kerbat Diraja Negeri Kedah.

Alamat: Bandar Alor Setar, 05000 Alor Setar, Kedah, Malaysia

8. Rumah Kelahiran Tun Dr. Mahathir Mohamad
Rumah ini pada asalnya diperbuat daripada kayu yang dibina pada tahun 1900. Terletak di No. 18 Lorong Kilang Ais, tepi Jalan Pegawai Kampung Seberang Perak. Di rumah inilah lahirnya Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang ke 4. Beliau menghabiskan masa kanak-kanak dan remajanya di rumah ini. Di dalam rumah ini diperlihatkan gambar-gambar semasa remajanya, album keluarga serta barang-barang asal rumah tersebut.

Alamat: No. 18, Lorong Kilang Ais Off Jalan Pegawai Seberang Perak, Kedah, 05000 Alor Setar, Malaysia
Waktu Operasi: 10.00am – 5.00pm (Isnin tutup)
Telefon: +60 4-772 1795

9. Balai Nobat
Alat permainan Nobat ada disimpan di balai ini. Megikut sejarah, alat-alat ini dihadiahkan oleh Sultan Mahmud, Sultan Melaka kepada Sultan Kedah. Pada masa itu, Kedah di bawah naungan Sultan Melaka yang memerintah seluruh negeri di semenanjung Tanah Melayu. Nobat dimainkan di dalam Balai ini kerana permainan Nobat ini bukan untuk dipertontonkan kepada masyarakat umum. Pada masa sekarang, Balai ini digunakan sebagai tempat untuk menyimpan alat-alat permainan Nobat dan juga sebagai satu mercu tanda Bandar Alor Setar sebagai Bandar Diraja.

Alamat: Bandar Alor Setar, 05000 Alor Setar, Kedah, Malaysia

TEMPAT MAKAN BEST

1. Awi Pulut
Pulut merupakan makanan ke sukaan orang utara. Pelbagai jenis lauk boleh dimakan dengan pulut. Gerai Awi Pulut menyediakan pelbagai menu pulut antaranya pulut durian, pulut kahwin, pulut ayam, pulut kuning dan pulut mangga. Selain makanan berasaskan pulut, terdapat juga nasi ayam percik dan nasi ayam berempah.

Alamat: No 4, Gerai Buah, Jalan Langgar Alor, 05100 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi: 8.30am – 5.30pm
Telefon: 012-5969199

2. Laksa Ikan Sekoq
Laksa memang amat terkenal di negeri utara. Setiap laksa mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Laksa di kedai makan Laksa Ikan Sekoq ini amat popular dalam kalangan penduduk setempat. Menariknya disini, laksa yang dihidangkan dengan seekor ikan. Lebih menarik, jika anda makan laksa ikan sekoq dan anda mahu tambah ianya diberi secara percuma.

Alamat: 19, Jalan Gangsa, Taman Wira Mergong, 05350 Alor Setar, Kedah, Malaysia
Waktu Operasi: 11.45am – 7.30pm
Telefon: +60 12-439 1313

3. Restoran Mikamal
Restoran yang terletak berdekatan dengan pintu masuk Istana Anak Bukit tempat bersemayam Tuanku Sultan Kedah ini menghidangkan masakan mee terbaik di Alor Setar. Mee goreng yang dihidangkan dikatakan amat sedap dan boleh dipesan samada mahu basah atau kering. Tidak ketinggalan, mee rebus dan pasembur disini juga amat sedap dan menjadi kegilaan ramai. Selain mee dan pasembur, restoran ini juga menyediakan nasi kandar dan makanan barat seperti chicken chop dan sizzling steak.

Alamat: Jalan Anak Bukit, Istana Anak Bukit, 05150 Alor Setar, Kedah, Malaysia
Waktu Operasi: 6.00am – 10.00pm (Jumaat tutup)

4. Le’ Medina Patisserie
Kedai makan ini menyediakan makanan ala baratyang unik. Keistimewaan di sini ialah pelbagai jenis kek disediakan. Semua presentation makanan disini disediakan dengan cukup cantik. Boleh menyebabkan anda berasa sayang untuk menyentuh makanan-makanan tersebut. Makanan lain seperti nasi lemak pandan dan sup tulang juga disediakan disini.

Alamat: No. 1, Jalan Stadium, 05100, Alor Setar, Kedah, Malaysia, 05100 Alor Setar, Malaysia
Telefon: +60 4-730 2120

5. Bite Cafe
Lokasi ini seringmenjadi pilihan pelancong yang berkunjung di Alor Setar kerana lokasinya yang strategik. Kafe ini terletak berhampiran dengan Masjid Zahir, Balai Seni, Balai Nobat dan Istana Kuning Kedah. Menu di sini pula menawarkan hidangan makanan barat dengan konsep santai.

Alamat: 119,, 117, Darul Aman Highway, Bandar Alor Setar, 05000 Alor Setar, Kedah, Malaysia