Please enable your JavaScript in order to browse the website.

Jalan-jalan Cari Makan di Muar

Muar merupakan salah sebuah daerah yang terletak di negeri Johor. Muar telah diisytihar sebagai Bandar Diraja pada tahun 2012. Muar masih mengekalkan sejarah berharga dan keunikan bandar itu yang patut dikunjungi semula. Daerah yang dikenali sebagai Bandar Maharani ini kaya dengan tarikan semula jadi yang indah. Tambahan pula, Muar menyajikan makanan tempatan yang enak dan sedap.

TEMPAT MENARIK DI MUAR

1. Taman Tanjung Emas
Tanjung Emas merupakan sebuah taman rekreasi yang terletak di muara Sungai Muar yang memaparkan laut Selat Melaka. Taman ini diuruskan dengan rapi supaya persekitarannya sentiasa selesa. Taman ini sangat sesuai bagi anda yang gemar melihat pemandangan laut yang menenangkan. Ibu bapa boleh membawa anak kecil ke sini kerana terdapat taman permainan di situ.

Lokasi: Taman Sri Tanjung, 84000 Muar, Johor

2. Sungai Muar
Jika anda sudah sampai ke Taman Tanjung Emas, cubalah aktiviti boat tour di sepanjang Sungai Muar. Sepanjang pelayaran, anda dapat melihat Bandar Muar dari pandangan yang berlainan, agaknya lebih istimewa pula. Untuk lebih seronok, anda boleh menempah tour pada waktu petang semasa matahari hampir terbenam. Pemandangan ini amat indah dan dapat memukau pandangan anda. Selain itu, jika anda membuat tempahan pada waktu malam anda dapat melihat keindahan kelip-kelip. Walau bagaimanapun, perkhidmatan boat tour ini hanya disediakan pada hari Sabtu atau Ahad sahaja.


3. Lukisan Mural The Loving Sisters
Terletak di Jalan Bulatan Bakri, sebuah lukisan mural terbesar di Malaysia yang telah diiktiraf oleh Malaysia “Book Of Record”. Lukisan ini memaparkan wajah Nur Najwa Alisyah Abdul Rashid, 7, dan adiknya, Nur Najiyah Armani, 3, yang berasal dari Bakri. Lukisan ini dihasilkan oleh artis Rusia, Julia Volchkova dengan kos RM 100,000. Hasil seni ini terlukis di dinding setinggi 11.8 meter dan selebar 9.45 meter dan siap dalam masa 12 hari.

Alamat: 1986, Jalan Arab, Pekan Muar, 84000 Muar, Johor, Malaysia

4. Pantai Leka
Jika ingin berkunjung ke pantai, anda boleh berkunjung ke Pantai Leka yang terletak di Parit Jawa. Pantai yang mempunyai kampung nelayan ini menjanjikan pemandangan yang amat cantik terutamanya ketika matahari terbenam. Pantai Leka ini juga merupakan kawasan perlindungan burung yang berhijrah. Syurga kepada anda yang gemar mengambil gambar pemandangan, Pantai Leka menjanjikan pemandangn kampung nelayan berlatarkan suasana matahari terbenam yang amat cantik.

Lokasi: Jalan Jabbar, Parit Jawa, 84150 Parit Jawa, Johor
Waktu Operasi: 6.00pm – 2.00am

5. HS Farmstay
HS Farmstay adalah sebuah tempat percutian keluarga di samping terdapat mini zoo. Terletak di Parit Pajar, Jalan Kesang. Jika anda memandu dari Bandar Maharani Muar, perjalanannya memakan masa kira-kira 15 minit sahaja selepas melewati Jambatan Sultan Ismail Muar. Ia agak tersorok di kawasan ladang sawit di Kesang, namun dengan bantuan papan tanda di tepi jalan, tidak sukar untuk anda mencarinya dari kawasan Tanjung Agas. Tarikan utama di sini ialah mini zoo, permainana air kanak-kanak, ladang kelapa, aktiviti menunggang kuda, ladang lebah dan sebagainya. Pengunjung boleh memberi makan kepada haiwan-haiwan di sini dengan tumbuh-tumbuhan yang ada di sekitar atau dengan makanan khas yang dijual. Selain itu, juga terdapat penginapan di HS Farmstay.

Alamat: Ptd 4116, Parit Pajar, Jalan Kesang, muar, 84000 Muar, Johor, Malaysia
Telefon: +60 12-613 7723

6. Ladang Herba Nasuha
Jika anda suka spa, anda boleh melawat Ladang Herba Nasuha yang terletak 19km dari bandar Muar. Ladang yang berkeluasan lebih 1500 hektar ini mengandungi 135 jenis herba berlainan yang datang dari seluruh dunia. Ladang ini ada menjual produk tempatan seperti minuman herba teh di samping menjual produk rempah ratus yang pelbagai jenis kepada pengunjung. Keunikannya, anda juga boleh menjalankan aktiviti lain jika anda datang ke sini.

Lokasi: Batu 12, Jalan Muar Pagoh, 84500 Muar
Waktu Operasi: 10.00am – 6.30pm
Telefon: +60 6-973 7231

7. Masjid Sultan Ibrahim
Salah sebuah masjid tertua di Muar ini dibina pada tahun 1890-an dan pada 1930, bangunan masjid baru siap dibangunkan menggantikan bangunan lama. Reka bentuk masjid yang menggabungkan elemen Barat dan Timur Tengah menjadikan masjid ini begitu cantik dan menjadi tarikan di Muar. Untuk pengetahuan anda, masjid yang gah ini boleh dilihat dari Tanjung Emas.

Lokasi: Jalan Petri, Taman Sri Tanjung, 84000 Muar, Johor
Telefon: +60 19-762 6019

8. Gunung Ledang
Bagi anda yang gemarkan aktiviti luar seperti berkhemah atau mendaki gunung, gunung Ledang adalah tempat yang paling sesuai untuk anda kunjungi di Muar. Gunung yang amat terkenal dengan kisah Puteri Gunung Ledang ini menambah pengalaman aktiviti luar yang sangat menarik dan berlainan daripada gunung lain di Malaysia. Selain aktiviti mendaki, anda boleh datang ke sini dan menikmati air terjun yang ada di kaki gunung.

Lokasi: Ledang, Johor, Malaysia

9. Kolam Air Panas Sungai Gersik
Kolam air panas ini merupakan tarikan semula jadi bagi pelancong tempatan dan asing. Kolam air panas tersebut mempunyai air panas bersuhu sekitar 50 hingga 70 darjah Celsius, Ia telah ditemui lebih daripada 100 tahun yang lepas di kawasan yang gersang, dipercayai mempunyai kuasa mujarab penyembuhan kerana kandungan sulfur di dalamnya yang tinggi. Kawasan kolam air panas ini mempunyai sebuah chalet, kemudahan awam seperti tandas, bilik mandi dan kemudahan tempat letak kenderaan, surau, tapak permainan kanak-kanak serta beberapa kedai. Ia dibuka dari 7 am hingga 7 pm dan kemasukan percuma bagi semua pengunjung.

Alamat: Jalan Kolam Air Panas Kg Gersik, 83610 Johor. Jawa,, Sungai, 84150 Semerah, Johor, Malaysia
Waktu Operasi: 7.00am – 7.00pm
Telefon: +60 6-988 1316

TEMPAT MAKAN BEST DI MUAR

1. Mee Bandung Abu Bakar Hanipah
Mee Bandung Muar adalah menu yang mesti anda cuba apabila sampai ke Muar. Rasa asli mee bandung original Muar boleh didapati di Kedai Mee Bandung Muar Abu Bakar Hanipah. Sesiapa sahaja pasti akan teringat-ingat akan keenakan rasa asli mee bandung ini kerana kuahnya yang pekat dan likat. Yang istimewa mee bandung ini adalah perencahnya dibuat sendiri oleh pengusaha kedai. Anda juga boleh masak sendiri di rumah kerana perencahnya turut dijual di sini. Mee bandung Muar ini pasti akan menjadi kegilaan anda.

Alamat: 9A, Jalan Abdullah, 84000 Muar
Nombor Telefon: 012-2642720
Waktu Operasi: 7.00am – 4.00pm

2. Medan Ikan Bakar Sabak Awor
Apabila anda sampai ke Muar dan sebut sahaja Medan Ikan Bakar Sabak Awor, semua orang tahu kerana di sini terkenal dengan makanan laut yang segar. Terdapat pelbagai pilihan makanan laut seperti ikan, ketam, udang, sotong, kerang, dan sebagainya. Gerai Ikan Bakar Wak Jos menjadi pilihan orang ramai di Medan Ikan Bakar Sabok Awor. Nak tahu kenapa ramai orang pergi ke Gerai Wak Jos, anda kenalah datang dan cuba sendiri. Menu wajib yang patut anda cuba adalah ikan siakap 3 rasa, sotong goreng tepung, dan ketam black pepper.

Alamat: Jalan Cahaya, Sabak Awor, 84000 Muar
Nombor Telefon: 07-7635623
Waktu Operasi: Malam sahaja

3. Restoran Murtabak JD Singapore
Sesiapa yang teringin dan tidak pernah merasa Murtabak Singapore anda tidak perlu susah-payah pergi ke Singapore kerana Murtabak Singapore boleh didapati di Muar. Restoran Murtabak Singapore ini terletak di Tanjung Agas, Muar. Kelainan murtabak Singapore ini berbanding dengan murtabak-murtabak lain adalah rasanya yang sangat sedap, saiznya yang besar serta isi di dalamnya yang padat. Inti di dalamnya adalah daging cincang yang diadun bersama telur dengan menggunakan rempah rahsia menambahkan lagi aroma bau yang mampu memikat sesiapa sahaja.

Alamat: Jalan Kesang, 84000 Muar
Nombor Telefon: 013-693 7589
Waktu Operasi: 11.00am – 12.00am (Jumaat Tutup)

4. Sai Kee 434 Cafe
Kepada peminum kopi tegar, anda boleh merasa kopi yang asli di Sai Kee 434 Café. Rasa keaslian kopinya dapat dirasai dengan sekali hirup sahaja. Kopi ini menggunakan teknik pemanggangan yang istimewa dan rahsia kopi menjadi sedap adalah majerin dan gula. Kopi ini bukan sahaja dinikmati oleh penduduk tempatan malah popular di kalangan penggemar kopi di Asia Tenggara. Nikmati cawan pertama dan anda akan jatuh cinta dengan rasa keaslian kopi 434 ini.

Alamat: Jalan Maharani, 84000 Muar
Nombor Telefon: 06-9513046
Waktu Operasi: 8.00am – 5.30pm

5. Pak Yahya Asam Pedas Parit Jawa
Apabila sampai ke Parit Jawa bolehlah singgah ke gerai Pak Yahya untuk menikmati asam pedas di sana. Hidangan asam pedas di gerai Pak Yahya merupakan antara yang paling famous di Parit Jawa. Gerai asam pedas Parit Jawa terletak berhampiran dengan jeti nelayan di Parit Jawa, Muar, Johor. Asam pedas Muar di sini memang terbaik dan ada keistimewaan rasanya tersendiri. Kalau anda semua nak tau, perlu cuba sendiri. Keenakan dan keaslian rasa asam pedas Muar tidak dapat digambarkan. Selain dapat menikmati hidangan asam pedas anda juga boleh menikmati pemandangan yang cantik di jeti nelayan yang sukar untuk kita jumpa di tempat lain.

Alamat: No. 1 Medan Asam Pedas, MPM, Parit Jawa
Nombor Telefon: 012-2551762
Waktu Operasi: 11.00am – 5.00pm (Jumaat Tutup)

6. Muar Soup House
Muar Soup House adalah warisan keluarga yang mula bertapak di Muar sejak 1958 lagi. Yang istimewanya kedai ini adalah menu sup kambingnya yang meletop. Sup kambing di sini adalah yang paling legend di Muar. Sangat rugi bagi sesiapa yang datang ke Muar tidak singgah makan sup legend ini. Terdapat juga menu lain yang membuatkan anda terliur. Sekali rasa pasti anda akan berpuas hati.

Alamat: 47, Jalan Sisi, 84000 Muar, Johor Malaysia.
Nombor Telefon: 016-6655786, 019-7274786, 06-9541786
Waktu Operasi: 24 Jam

7. Restoran Rabbit Home (Muar Historia)
Rata-rata penduduk muar memang tahu kewujudan restoran yang terkenal dengan sejarah yang dipamerkan dalam restoran. Dekorasi dalamannya yang dihiasi dengan artifak sejarah dan juga dinding dipenuhi mural mengisahkan daerah Muar pasti membuatkan anda kagum. Anda boleh menikmati pelbagai jenis hidangan ala-carte dan lauk-pauk makanan tengah hari yang disediakan sambil mengenali daerah Muar dengan lebih dekat. Antara hidangan popular mereka adalah Muar Curry Laksa yang mesti anda cuba! Dan juga hidangan yang menjadi kegemaran ramai seperti Nasi Goreng Kampung DiRaja, dan Guang Dong Kuey Tiew. Juga terdapat pencuci mulut seperti Ice Kacang Muar & Melaka dan Ice Jelly Pop. Untuk pengetahuan anda, Sultan Johor juga pernah melawati restoran ini.

Alamat: 68, Jalan Sisi, Pekan Muar, 84000 Muar, Johor, Malaysia
Waktu Operasi: 7.30am – 8.30pm
Telefon: +60 17-226 7688

PENGINAPAN

1. Trata Leka
Trata Leka merupakan Homestay resort yang terletak di Parit jawa. Menyediakan 3 buah tratak duah buah dorm atau hostel yang memuatkan 30 orang dan sebuah rumah pondok untuk dua orang. Uniknya, penginapan di sini memberi aura kampung dengan teratak yang berbentuk seperti rumah-rumah papan di kampung. Bagi anda yang ingin melarikan diri daripada kesibukan bandar, ini adalah destinasi menarik yang boleh anda pertimbangkan.

Alamat: Pantai Leka, 84150 Parit Jawa, Johor, Malaysia
Telefon: +60 3-9285 2548
Facebook: Trata’ Leka

2. Tropicana Boutique Hotel
Hotel ini amat sesuai untuk tempat menginap semasa bercuti di Muar. Ianya terletak betul-betul di atas kafe PappaRich dan berdekatan dengan kedai yang menjual pelbagai jenis barang keperluan, Starbucks, Pizza Hut, McDonald’s, bank dan lain-lain. Lokasi hotel ini strategik bagi mengembara di Muar. Hotel ini juga menawarkan pebagai kemudahan bagi keselesaan pengunjung.

Alamat: 82-54 Tingkat 2, Jalan Bakri 2, Kampung Kenangan Tun Dr Ismail, 84000 Muar, Johor, Malaysia
Telefon: +60 6-951 9237
Laman Web: muarhotel.com

3. Tropicana Homestay
Jika anda bercuti bersama keluarga yang besar atau bersama rakan-rakan yang ramai, anda boleh menempah tropicana homestay yang boleh memuatkan lapan hingga sepuluh orang dalam satu masa. Homestay yang bersih dan selesa disediakan bagi menjamin keselesaan anda semasa menginap.

Alamat: 82-54 Tingkat 2, Jalan Bakri 2, Kampung Kenangan Tun Dr Ismail, 84000 Muar, Johor, Malaysia
Telefon: +60 6-951 9237
Laman Web: muarhotel.com